WSIS 2025: 12 projek MCMC tersenarai sebagai finalis

PETALING JAYA: Sebanyak 12 projek oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya tersenarai sebagai finalis Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.

Anugerah itu yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengiktiraf inisiatif digital yang memberi impak positif kepada pembangunan mampan.

MCMC menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan besar bagi negara.

“Malaysia telah mencatat satu lagi kejayaan penting dalam perjalanan digitalnya,” kata MCMC dalam kenyataan pada 19 April lalu.

“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen negara untuk memperkasa keterangkuman digital dan inovasi mampan,” tambahnya.

Sebagai penghormatan tambahan, Malaysia turut dinobat sebagai Rakan Strategik Platinum untuk WSIS+20 tahun ini yang mengukuhkan kedudukan negara dalam arena digital serantau.

Antara projek yang tersenarai ialah inisiatif kesalinghubungan luar bandar SMART600 di Sarawak, onboarding melalui metaverse, Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan, Program Masyarakat Tanpa Tunai MCMC, kiosk telekesihatan Sihat Xpress serta program AI bersama Microsoft.

MCMC berkata, pencalonan itu menunjukkan sokongan padu pelbagai kementerian dan agensi dalam membina masyarakat digital yang inklusif dan berdaya saing.

Orang ramai kini boleh mengundi projek pilihan mereka melalui undian awam WSIS 2025 yang telah dibuka.

Anda Mungkin Berminat