Dakwaan tukar nama Ketua Hakim saat akhir spekulasi tidak berasas – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya berlaku pertukaran nama calon Ketua Hakim Negara pada saat akhir sebelum pengumuman dibuat baru-baru ini.

Menurut beliau, nama calon telah dikemukakan lebih awal dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan proses mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang menuntut saranan Perdana Menteri dan rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

“Tidak timbul isu tukar nama di saat akhir. Nama yang dikemukakan kekal sejak awal. Dakwaan kononnya ada nama lain seperti Datuk itu atau Tan Sri ini hanyalah spekulasi tidak berasas dan sengaja direka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Jelas Anwar, beliau tidak menjawab spekulasi sebelum ini kerana proses pelantikan masih berjalan dan memerlukan kelulusan Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat pada 15 dan 16 Julai lalu.

“Saya tidak boleh mendahului proses. Nama sudah dihantar sebelum negara ‘riuh’. Bahkan, pelantikan lain seperti hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dicadangkan lebih awal, dua bulan atau dua bulan setengah sebelumnya,” ujarnya.

Beliau turut menyelar dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan mempolitikkan sistem kehakiman dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Katanya, wujud pihak yang sengaja menyebarkan cerita palsu, kononnya wujud percaturan atau campur tangan dalam pelantikan, walhal semua dilakukan mengikut prosedur.

“Alhamdulillah, akhirnya proses selesai dengan baik. Tapi sekarang yang maki saya minggu lepas pun sudah diam. Inilah pengajaran, jangan cepat menghukum tanpa tahu proses sebenar,” tegasnya.

Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 baru-baru ini, menurutnya, berjaya memadamkan segala tohmahan, fitnah dan polemik yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat