PETALING JAYA: DAP akan menaja bendera Jalur Gemilang bersaiz gergasi untuk dipasang di premis bendera dipasang secara terbalik di Pulau Pinang baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemasangan itu dijadual berlangsung petang ini sebagai tanda solidariti dan pembetulan penuh hormat terhadap kesilapan yang berlaku.
“Ini bukan isu penderhakaan, tetapi satu kekeliruan yang tidak wajar dihukum dengan ugutan atau tekanan politik,” katanya dalam satu kenyataan.
DAP mengecam tindakan pihak tertentu yang mendesak pendakwaan serta mengugut mahu mengadakan protes di hadapan kedai tersebut.
Loke berkata tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk buli terhadap individu berkenaan dan mencerminkan sikap tidak matang dalam menyemarakkan semangat patriotisme.
Sebagai langkah memperkukuh semangat perpaduan, DAP Pulau Pinang turut akan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang kepada orang awam sekiranya terdapat pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis berkenaan.
Loke turut menggesa semua pihak untuk menolak provokasi dan menyelesaikan isu ini dengan rasional, aman dan penuh adab.
Kes ini tercetus susulan tindakan seorang individu yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Pulau Pinang, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.







