KEIKHLASAN dua beradik menghulurkan duit raya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja meruntun jiwa beliau, malah dibalas dengan penghargaan istimewa termasuk peranti iPad dan sumbangan pendidikan.
Dalam kejadian menyentuh hati itu, Aesha Khadeejah Anuar, 10, dan adiknya, Uwais Al Qarni, 8, bertemu Anwar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud ketika pemimpin itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas lawatan kerja di Terengganu.
Menurut Anwar, keikhlasan dua beradik itu yang menghulurkan duit raya benar-benar menyentuh perasaannya, mendorong beliau mengarahkan pasukan untuk menjejaki keluarga kanak-kanak tersebut bagi menyampaikan sumbangan sebagai tanda penghargaan.
“Sumbangan kecil ini bukan sekadar hadiah, tetapi tanda kasih dan dorongan agar mereka terus tekun menuntut ilmu serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, dua beradik itu menyerahkan duit raya berjumlah RM7 iaitu RM5 dan RM2, yang merupakan wang belanja sekolah mereka, dalam pertemuan singkat di pagar lapangan terbang berkenaan.
Ibu mereka, Liza Fadzilah Abdul Hamid, 49, berkata, pada awalnya mereka terserempak dengan kenderaan dinaiki Anwar sebelum mengambil keputusan ke lapangan terbang bagi memenuhi hasrat anak-anaknya untuk bertemu Perdana Menteri.
“Mereka sangat teruja dan mahu bertentang mata dengan Datuk Seri. Kami tunggu hampir sejam dan tidak sangka beliau sudi meluangkan masa menyantuni anak-anak sebelum berlepas sekitar jam 10.30 malam,” katanya.
Aesha Khadeejah, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, berkata dia dan adiknya memberanikan diri memanggil Anwar sebelum menyerahkan sampul duit raya tersebut.
“Kami beri duit raya sebab masih bulan Syawal,” katanya.
Susulan itu, kedua-dua mereka menerima ‘hadiah balas’ berupa iPad, kelengkapan sekolah serta senaskhah al-Quran yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Abdul Kahar berkata, Anwar amat tersentuh dengan keikhlasan dua beradik tersebut dan berpesan agar mereka terus belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cerah.
Kisah itu turut mendapat perhatian ramai apabila dikongsikan oleh Perdana Menteri di media sosial, sekali gus menjadi inspirasi tentang nilai keikhlasan dan kasih sayang dalam masyarakat.
Baca juga:








