Dari Lumut ke Seluruh Negara, MADANI Bukan Sekadar Slogan – PM

LUMUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gagasan MADANI bukan sekadar retorik tetapi satu komitmen menyeluruh untuk membela rakyat terbanyak termasuk dalam hal-hal asas seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Dalam ucapannya sempena penutupan Program MADANI Rakyat 2025 peringkat negeri Perak di Lumut Waterfront, pada Ahad, beliau menekankan pentingnya mendengar suara rakyat secara langsung dan bertindak atas keperluan sebenar mereka.

“Dari Lumut ke seluruh negara, MADANI tidak hanya slogan tetapi merupakan iltizam padu membela rakyat terbanyak,” katanya.

Antara inisiatif yang diumumkan termasuk peluasan Hospital Manjung, pembaikan 863 tandas sekolah serta 200 lagi yang sedang dalam proses.

Pada masa yang sama, beliau turut menyentuh sindiran yang dilemparkan terhadapnya.

“Pembangkang panggil saya ‘Perdana Menteri Tandas’, namun apa saya kisah.

“Yang saya kisah adalah keselesaan anak-anak kita yang menuntut di sekolah-sekolah,” katanya.

Anwar turut berkata, pentadbiran negara tidak boleh hanya tertumpu kepada projek mega seperti KIGIP dan LuMIC, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada isu asas rakyat.

“Mentadbir bukan hanya soal mengejar dan mencatat KDNK tetapi menegakkan nilai dan prinsip manusiawi dengan cakna dan penuh keprihatinan,” katanya.

Beliau juga menyambut baik penganjuran Program MADANI Rakyat sebagai platform wacana terbuka antara rakyat dan kerajaan serta berkongsi maklum balas yang diterima termasuk isu kesalinghubungan di UPSI yang telah diselesaikan oleh MCMC.

Dalam menjawab persoalan mengenai perluasan cukai SST, beliau menjelaskan dengan mengambil buah avocado sebagai contoh.

“Kenapa avocado kena cukai? Mudah. Kita bukan cukai pisang berangan di Lumut, kita cukai avocado yang diimport.

“Yang mampu makan mahal, maka mesti mampu kongsi sedikit beban,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pendiriannya terhadap isu rasuah.

“Saya tidak berganjak dari prinsip bahawa tidak ada kompromi terhadap rasuah dan tidak ada maaf untuk perasuah-perasuah,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama membina Malaysia yang lebih bermaruah dan berdaya saing.

“Justeru, mari lipatgandakan usaha dan Perak jadi saksi kebangkitan Malaysia—dengan maruah, disiplin dan hala tuju yang jelas,” katanya.

Anda Mungkin Berminat