KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan pujian terhadap peranan Malaysia sebagai pengantara utama dalam usaha mendamaikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.
Anwar berkata Trump secara peribadi menyifatkan usaha Malaysia sebagai “fantastic work”, ungkapan yang disebut sebanyak tiga kali oleh bekas presiden itu dalam perbualan mereka.
“Antara perkara pertama yang disebut Presiden Trump ialah pujian terhadap Malaysia. Dia kata, ‘Prime Minister, fantastic work’. Tiga kali dia ulang perkataan ‘fantastic’, merujuk kejayaan kita membawa Thailand dan Kemboja berpakat, capai gencatan senjata dan keamanan,” kata Anwar dalam ucapannya pada Sabtu.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan ini tidak dicapai dengan mudah kerana cubaan awal yang melibatkan kuasa-kuasa besar lain termasuk China tidak membuahkan hasil. Namun, Malaysia melalui usaha gigih Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan kepimpinan negara, berjaya mengatur rundingan antara Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja dalam masa dua hari setengah.
“Alhamdulillah, hasilnya ialah persetujuan damai. Nama Malaysia harum di dunia. Dari Washington ke London, orang berbicara tentang kejayaan ASEAN yang dipimpin Malaysia dalam mencapai perdamaian dan kemajuan bersama,” ujar Anwar.
Tambah beliau, komunikasi dengan pemimpin Kemboja, Hun Manet, masih berjalan sehingga malam tadi. Dalam perbualan tersebut, Hun Manet mengesahkan tiada lagi pertempuran berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia.
Namun begitu, usaha Malaysia belum berakhir. Anwar memaklumkan bahawa Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja akan tiba di Kuala Lumpur pada Isnin ini untuk membincangkan butiran lanjut bagi memeterai pelan perdamaian yang lebih terperinci.
“Inilah wajah Malaysia baharu – bukan sahaja menyatukan dalam negeri, tetapi juga memainkan peranan besar di pentas dunia untuk keamanan serantau,” tegasnya lagi.
Baca juga: