PETALING JAYA: Perkhidmatan awam negara melakar satu lagi pencapaian penting apabila Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melancarkan Dashboard H.E.M.A.T., sebuah platform digital baharu yang dirangka khusus untuk memperkukuh Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Dibangunkan sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa melibatkan sebarang kos luaran, dashboard itu berfungsi sebagai medium penyelarasan dan penilaian inisiatif kerajaan secara telus, strategik dan berimpak tinggi.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, ia berteraskan lima nilai utama: Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran.
“Nilai H.E.M.A.T. wajar diinstitusikan sebagai pegangan pegawai awam.
“Ia menjadi nadi yang menggerakkan gagasan Malaysia MADANI dan aspirasi reformasi perkhidmatan awam,” katanya.
Setakat ini, katanya, sebanyak 93 inisiatif telah didaftarkan di bawah platform tersebut, dengan penilaian dilakukan oleh 24 panel yang terdiri daripada ahli akademik serta pegawai kanan JPA dan INTAN.
Ini menjadikan Dashboard H.E.M.A.T. sebagai medium pelaporan digital yang lebih telus dan berakauntabiliti tinggi.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan sesi Bicara Aspirasi H.E.M.A.T., yang menghimpunkan lebih 1,000 pegawai awam secara fizikal dan 5,000 lagi secara maya.
Program itu bertujuan memperkukuh penghayatan nilai H.E.M.A.T. dalam tugasan harian penjawat awam.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, siri Bicara H.E.M.A.T. telah melibatkan lebih 6,895 pegawai awam di seluruh negara dengan penyertaan tertinggi dicatatkan di Sarawak melalui INSARA, melibatkan 1,728 peserta.
Kajian yang dijalankan mendapati lebih 85 peratus peserta yakin nilai-nilai tersebut boleh diterapkan secara praktikal dalam perkhidmatan harian.
Peluncuran Dashboard H.E.M.A.T. dilihat sebagai langkah berani dan progresif oleh JPA dalam memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), seiring komitmen untuk menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih cekap, berdaya cipta dan berjiwa rakyat sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.








