PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa kenyataan media yang tular berkaitan peratusan pencapaian pelajar mengikut kaum bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 adalah tidak benar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian, malah maklumat tersebut juga tidak diumumkan dalam sidang rasmi keputusan SPM.
Beliau menegaskan bahawa kandungan yang tersebar itu adalah sepenuhnya palsu.
“Maklumat yang tular itu langsung tidak benar,” katanya dipetik MalaysiaKini.
Menurut beliau, pelaksanaan peperiksaan SPM serta pengumuman keputusannya dibuat berdasarkan piawaian ketat yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.
KPM, katanya, memastikan setiap mata pelajaran dinilai mengikut standard yang ditetapkan, selain keputusan diumumkan secara serentak di seluruh negara bagi menjamin ketelusan.
“Keputusan dikeluarkan pada waktu yang sama di seluruh negara sebagai sebahagian daripada standard yang tidak boleh dikompromi,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa sistem pengumuman yang seragam ini bertujuan memastikan integriti dan keadilan dalam proses penilaian.
Terdahulu, satu kenyataan media berlogo KPM tersebar di media sosial yang mendakwa terdapat perbezaan peratusan pencapaian calon SPM 2025 mengikut kaum, termasuk dakwaan bahawa pelajar Melayu mencatat peratusan terendah..
Baca juga:








