DBKL Gempur Premis Hiburan, Hotel Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila tiga premis hiburan dan hotel ditutup serta-merta dalam Operasi Tindakan Khas Premis Siri 9/2025 yang dijalankan di ibu negara.

Operasi itu melibatkan pemeriksaan menyeluruh di sekitar Jalan Cochrane, Jalan Kampung Pandan, Titiwangsa dan Desa Sri Hartamas yang menyasarkan pusat hiburan, kelab malam dan hotel yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah.

Antara lokasi yang diperiksa termasuk sebuah hotel dengan 93 bilik penginapan yang dipercayai melanggar syarat lesen dan menjalankan aktiviti tidak dibenarkan.

“Hasil operasi, dua premis diarahkan tutup, pelbagai peralatan disita daripada dua pusat hiburan, manakala tiga notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” kata DBKL dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut DBKL, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen hiburan, tiada lesen perniagaan dan aktiviti hiburan dijalankan di luar waktu yang dibenarkan.

DBKL menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi undang-undang dan syarat perlesenan.

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan atau maklum balas berhubung kegiatan haram melalui portal rasmi: https://adukl.dbkl.gov.my

Anda Mungkin Berminat