DBKL kompaun pemilik rumah simpan barang lusuh, pelihara anjing tanpa lesen

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan dua notis kompaun kepada seorang pemilik rumah dekat Taman Connaught dekat Cheras kerana memelihara anjing tanpa pengawasan serta menyimpan barang lusuh secara berlebihan.

Menurut hantaran DBKL di Facebook, tindakan diambil kerana pihaknya dan Pejabat Kesihatan Parlimen Cheras menerima aduan berulang terhadap masalah yang dicetuskan oleh pemilik rumah berkenaan sejak 2023.

“Pada 24 Februari lalu, siasatan mengesahkan ada empat ekor anjing dan sejumlah besar barang lusuh di premis berkenaan.

“Dua notis dikeluarkan, mengarahkan pemilik untuk mendapatkan lesen dan mengurangkan jumlah anjing, serta menghentikan penyimpanan barang lusuh dalam tempoh tiga hari,” kata DBKL.

Susulan itu, satu operasi bersepadu yang dijalankan pada 27 Februari lalu turut membabitkan Unit Kawalan Pest Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Pusat Logistik Vektor JKAS dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Tindakan yang diambil termasuk pembersihan kawasan dan rampasan dua ekor anjing dan pemantauan lanjut juga akan diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, DBKL mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan memelihara anjing tanpa lesen atau melebihi jumlah dibenarkan serta mengumpul barang lusuh di rumah hingga menimbulkan kekacauan dan gangguan adalah satu kesalahan.

“Pemilik anjing diwajib mendapatkan lesen bagi setiap ekor haiwan itu yang dipelihara. Penyimpanan barang lusuh secara berlebihan boleh menimbulkan gangguan dan menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan komuniti setempat. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan ini.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memastikan persekitaran yang bersih, selesa, dan harmoni untuk kesejahteraan bersama,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat