DBKL Lancar Operasi Khas, Gempur Penjaja Tanpa Lesen Di Jalan TAR

KUALA LUMPUR: Dalam usaha berterusan memastikan ibu kota kekal selamat, bersih dan selesa untuk semua, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan satu operasi khas bagi menyita dan memindahkan halangan yang ditinggalkan oleh penjaja tanpa lesen di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Operasi itu menyasarkan aktiviti penjajaan haram yang meletakkan peralatan perniagaan seperti troli, balang air, tong gas dan pelbagai barangan lain di atas siar kaki dan laluan awam tanpa kebenaran.

Tindakan itu bukan sahaja bertujuan menguatkuasakan peraturan tetapi juga memperkukuh hak pengguna jalan raya dan pejalan kaki agar dapat bergerak dengan lebih lancar dan selamat.

“Langkah ini bukan sekadar penguatkuasaan tetapi juga sebahagian daripada usaha DBKL memperkemas dan memastikan hak pengguna jalan raya serta pejalan kaki terpelihara,” kata DBKL dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut DBKL, sebanyak empat kes sitaan telah direkodkan dalam operasi tersebut, menandakan ketegasan pihak berkuasa dalam menangani isu yang menjejaskan keteraturan bandar.

DBKL turut memberi jaminan bahawa pemantauan dan tindakan berjadual akan diteruskan di kawasan-kawasan tumpuan demi kesejahteraan awam.

Anda Mungkin Berminat