Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Penggunaan kamera badan atau “Body Worn Camera (BWC)” bakal dilaksanakan oleh Anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di saat memantau kawasan Bazar Ramadan dan Bazar Syawal.
Menurut kenyataan media DBKL, penggunaan peranti itu bertujuan demi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti, di samping melindungi keselamatan pegawai serta orang awam.
“Rakaman juga dapat dijadikan bukti sekiranya berlaku insiden, sekali gus membantu mengurangkan sebarang pertikaian ketika proses penguatkuasaan dijalankan,” katanya di laman rasmi Facebook pada Selasa.
Agensi itu turut menjelaskan bahawa rakaman tersebut boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku insiden, sekaligus membantu mengurangkan sebarang pertikaian ketika proses penguatkuasa dijalankan.
“Body Worn Camera akan digunakan dalam beberapa situasi seperti semasa rondaan di kawasan bazar, semasa pemeriksaan lesen peniaga, ketika berinteraksi dengan orang awam dan semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan,” ujarnya.
Tambahnya, DBKL komited memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, profesional dan berhemah demi kesejahteraan warga kota.








