Demi Kemaslahatan Rakyat, Kerajaan Pilih Pendekatan Bersasar dan Adil – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak terikat kepada soal populariti dalam menggubal dasar, sebaliknya memberi keutamaan kepada kemaslahatan rakyat secara menyeluruh.

Menurut beliau, antara langkah penting yang sedang diusahakan ialah perluasan asas cukai yang walaupun tidak popular dan ianya perlu dilaksanakan secara adil dan bersasar.

“Hasil tambahan ini akan dikembalikan kepada rakyat dengan mempertingkat kemudahan awam khususnya sektor kesihatan yang semakin mendesak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Anwar, reformasi struktural yang diketengahkan bukan hanya tertumpu kepada penambahbaikan institusi atau usaha menutup ketirisan, sebaliknya merangkumi lima bidang kritikal termasuk kemampanan fiskal, penyasaran subsidi, reformasi cukai, pembangunan modal insan dan ketelusan institusi.

Beliau turut mengakui wujud desakan agar reformasi dilaksanakan dengan segera, namun dalam masa sama terdapat segelintir pihak yang berusaha mengekalkan status quo demi kepentingan sendiri serta cuba mengelirukan rakyat.

“Saya percaya seluruh jentera kerajaan akan terus mendukung agenda reformasi ini dengan tekad dan iltizam,” ujarnya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia atas penganjuran simposium yang menghimpunkan pelbagai cendekiawan dan tokoh korporat sebagai medan perbincangan strategik.

Anda Mungkin Berminat