PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan 31 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China 31 dilaksanakan dengan segera, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Jelas beliau, Jemaah Menteri turut memutuskan Kementerian Luar menjadi kementerian yang menyelaras pelaksanaan bagi MoU yang telah ditandatangani itu.
“Antara MoU disegerakan adalah pengumuman Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam satu acara baru-baru ini mengenai cadangan hab berkembar antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Henan.
“Perancangan kerajaan adalah untuk pastikan ke semua MoU yang telah ditandatangani itu dapat dilaksanakan pada kadar segera,” katanya pada sidang media di kementeriannya pada Rabu.

Pada 16 April lalu, Anwar dan Presiden China Xi Jinping menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.
Sementara itu, berhubung kritikan terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri secara mewah, termasuk menampilkan persembahan artis terkenal, Fahmi berkata, beliau tiada maklumat mengenai perkara itu dan ia perlu dirujuk kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, kadangkala artis yang hadir tidak mengenakan apa-apa bayaran atau bayaran yang nominal.
“Dalam pengalaman Kementerian Komunikasi sendiri pada tahun lalu, bila kita bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), beberapa artis menyatakan mereka akan menyampaikan persembahan dan tidak mengenakan apa-apa caj.
“Tahun ini, kami manfaatkan artis veteran dan beberapa yang lain tetapi itu adalah bagi Kementerian Komunikasi,” tambahnya.
Baca juga: