Perkhidmatan 2G, 4G Pulih Sepenuhnya Selepas Gangguan Menara Di Bukit Pilah

PETALING JAYA: Perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kini kembali beroperasi sepenuhnya selepas gangguan akibat vandalisme dan kecurian di menara komunikasi Bukit Pilah berjaya dipulihkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa kesemua 14 menara komunikasi yang terjejas kini telah kembali berfungsi dan boleh digunakan oleh pengguna di kawasan terbabit.

Sebelum ini, gangguan berlaku selepas sebuah menara milik CelcomDigi Berhad di Bukit Pilah mengalami insiden vandalisme dan kecurian peralatan, sekali gus menjejaskan 13 menara lain serta kira-kira 1,668 pengguna pelbagai rangkaian.

Menurut MCMC, hasil siasatan bersama CelcomDigi mendapati beberapa peralatan penting seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) telah dicuri sehingga menyebabkan gangguan rangkaian di kawasan berkenaan.

“Semua menara yang terjejas kini telah kembali beroperasi dan perkhidmatan 2G serta 4G boleh digunakan seperti biasa oleh pengguna,” menurut kenyataan MCMC pada Selasa.

MCMC berkata, pihaknya akan memperkukuh pemantauan serta bekerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Orang awam turut diingatkan supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anda Mungkin Berminat