Negeri Sembilan Serah 116 Unit Rumah Mampu Milik Bernilai RM80,000

SEREMBAN: Usaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan rakyat memiliki kediaman selesa dan berpatutan terus membuahkan hasil apabila sebanyak 116 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Type A bernilai RM80,000 berjaya disiapkan di Taman Cassia, Bahau.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan dasar kerajaan negeri yang menetapkan 50 peratus daripada pembangunan baharu mesti terdiri daripada rumah mampu milik.

“Pagi ini saya merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Type A Taman Cassia, Bahau serta menyaksikan pemeteraian perjanjian usahasama antara Kolej Yayasan Negeri Sembilan dan Era Baru Sdn. Bhd.

“Hari ini bukan sekadar penyerahan kunci tetapi penyerahan harapan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, di Taman Cassia sahaja, sebanyak 116 unit RMM Type A dan 155 unit RMM Type B telah siap dan diserahkan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan rumah yang bukan sahaja mampu dimiliki tetapi juga selesa dan bermaruah untuk didiami.

Aminuddin berkata, kejayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah projek diumumkan tetapi berapa ramai rakyat yang benar-benar mendapat manfaat.

Selain perumahan katanya, kerjasama dengan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) membuka lembaran baharu dalam pembangunan pendidikan termasuk cadangan kampus baharu di Bahau yang akan memfokuskan bidang kemahiran dan TVET.

“Ini penting bagi melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar setiap rumah yang diserahkan menjadi asas kepada kesejahteraan keluarga.

“Semoga setiap rumah yang diserahkan hari ini menjadi tempat lahirnya keluarga bahagia, membesar anak-anak dengan penuh kasih sayang dan membina masa depan yang lebih baik.

“Perjuangan ini belum selesai. Selagi masih ada rakyat yang belum memiliki rumah, selagi itulah usaha ini akan kita teruskan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat