Hari Wilayah 2026: Presiden Mahkamah Rayuan Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran

KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2026 apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pengurniaan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam istiadat penuh adat di Istana Negara, hari ini.

Turut menerima SMW ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Istiadat sama turut menyaksikan seramai 15 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mendahului senarai penerima.

Antara tokoh lain yang menerima PMW ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar; Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Badarudin Taha; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia, Pesuruhjaya Polis Gilbert Philip Layang serta Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Mohd Razib Tahir.

Secara keseluruhan, seramai 54 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun ini, merangkumi pelbagai kategori termasuk Johan Mahkota Wilayah (JMW), Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Penerima terdiri daripada penjawat awam, pegawai kanan kerajaan, tokoh akademik, anggota pasukan keselamatan serta individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan Wilayah Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat