PARLIMEN | Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang berlangsung selama 35 hari sejak 19 Januari lalu, ditangguhkan hari ini selepas meluluskan sebanyak 15 Rang Undang-Undang (RUU) serta beberapa usul penting.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, selain meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, persidangan kali ini turut memberi tumpuan kepada beberapa perkara utama termasuk perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026.
Antara RUU yang diluluskan termasuklah RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025, RUU Rapid Transit System Link Johor Bahru–Singapura 2026, RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 serta RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026.
Sepanjang sesi ini, Dewan turut menyaksikan tiga sesi penerangan oleh menteri-menteri berkaitan serta dua sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai penyata yang telah dibentangkan.
“Pada mesyuarat ini juga kita menyaksikan Persidangan Kamar Khas diadakan di Dewan Persidangan, sekali gus memberi keselesaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, pegawai, pelawat serta pihak media untuk mengikuti persidangan,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat kini ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak.








