Dewan Rakyat Tumpu Isu Rundingan Thailand-Kemboja dan Hutang Kerajaan MADANI

PARLIMEN | Peranan Malaysia dalam membantu rundingan perdamaian dan gencatan senjata konflik Thailand-Kemboja menjadi antara tumpuan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal Parlimen, isu tersebut dibangkitkan oleh Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) kepada Perdana Menteri semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Dalam sesi sama, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) turut meminta penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung pengurusan hutang negara oleh Kerajaan MADANI secara bertanggungjawab.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mengemukakan soalan kepada Menteri Luar Negeri mengenai cadangan pembangunan bersama (Joint Development) dengan Indonesia di blok ND 6 dan ND 7 Ambalat.

Beliau juga ingin mengetahui sama ada pendekatan serupa seperti yang digunakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) terpakai dalam cadangan tersebut atau terdapat kaedah lain, dengan mengambil kira perlindungan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula meminta Perdana Menteri menyatakan hasil keputusan kerajaan selepas sesi libat urus menyeluruh bersama pihak berkepentingan berkenaan penubuhan Ombudsman Malaysia, serta langkah-langkah seterusnya untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

Selain itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengajukan pertanyaan kepada Menteri Pertahanan sama ada terdapat perancangan kementerian untuk mengintegrasikan penggunaan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam sistem pertahanan udara negara.

Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat