Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan disaran menubuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) versi ‘junior’ sebagai langkah tegas mendidik semula pelajar bermasalah disiplin, termasuk mereka yang terlibat dalam salah laku, buli, melawan guru serta melanggar peraturan sekolah.
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, menegaskan program seumpama itu mampu menjadi medan untuk membina semula karakter dan jati diri pelajar menerusi pendekatan latihan intensif selama tiga bulan.
“Letakkan murid-murid ini selama tiga bulan di PLKN Junior, bentuk dan bina semula karakter mereka.
“Gilap potensi mereka supaya mereka nampak apakah kebolehan sendiri. Bina amalan hidup supaya mereka belajar menghormati orang lain.
“Tanam dalam diri mereka untuk menjadi orang yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, sepanjang tempoh di kem tersebut, pengharaman penggunaan media sosial dan permainan video wajar dikuatkuasakan bagi memulihkan semula fokus serta disiplin diri pelajar.
“Haramkan segala media sosial dan permainan video sepanjang tempoh latihan tersebut.
“Selama tiga bulan di PLKN Junior, murid-murid fokus membina kembali diri mereka sendiri.
“Pada masa yang sama, di PLKN JUNIOR, murid-murid teruskan sesi pembelajaran, diajar oleh guru-guru bersara yang berpengalaman,” ujarnya.

Dr Anuar turut menegaskan bahawa meskipun pelaksanaan program itu mungkin berdepan kekangan kos dan sumber, risiko jangka panjang akibat gejala pelajar bermasalah adalah jauh lebih besar sekiranya tiada tindakan tuntas diambil.
“Yang penting, ubahlah cara penyelesaian kita.
“Ceramah, leteran, amaran atau hukuman gantung sekolah adalah cara lama yang sudah tidak berkesan.
“Maka lakukan pendekatan dengan lebih berani untuk selamatkan masa depan murid-murid ini,” katanya tegas.
Baca juga:








