Ditolak sana sini ‘Umi’ jadi penyelamat, cerita Olivia menyentuh hati

SEORANG pengguna media sosial, oliviayuqi, berkongsi pengalaman peribadinya menerima layanan penuh mesra daripada sebuah keluarga Muslim ketika berkunjung ke Terengganu, meskipun dia bukan beragama Islam.

Menerusi perkongsian di laman Threads pada Selasa, Yuqi memaklumkan berdepan kesukaran mendapatkan penginapan kerana kebanyakan hotel penuh, manakala sebahagian pengusaha inap desa hanya menerima tetamu Muslim.

“Kami tidak dapat mencari tempat untuk menginap selama satu malam di Terengganu kerana kebanyakan hotel telah penuh, manakala pemilik inap desa pula lebih mengutamakan tetamu Muslim. Namun, pemilik inap desa ini sudi menerima kami untuk satu malam,” katanya.

Namun, situasi itu berubah apabila seorang tuan rumah yang dikenali sebagai “Umi” bersama suaminya sudi menerima beliau dan rakan untuk menginap selama satu malam.

Lebih menyentuh hati lagi apabila pasangan berkenaan turut mengajak mereka bersarapan bersama sebelum pulang.

“Umi dan suaminya turut menjemput kami bersarapan bersama sebelum kami pulang ke rumah. Ia mungkin satu perkara yang sederhana, namun sangat bermakna buat kami,” ujarnya.

Oliviayuqi turut menzahirkan rasa syukur atas pengalaman tersebut, sambil menyifatkan ia sebagai bukti bahawa nilai kebaikan dan keikhlasan masih wujud dalam masyarakat.

“Dalam dunia yang kadangkala terasa tidak menentu, detik seperti ini mengingatkan kita bahawa kebaikan yang tulus masih wujud.

“Saya bersyukur kerana individu yang tidak dikenali menjadi sebahagian indah dalam perjalanan kami,” jelasnya.

Sementara itu, pemilik inap desa berkenaan, yang menggunakan nama akaun ummuibrahim79, tampil membalas perkongsian tersebut.

“Hai Olivia, saya Umi. Terima kasih, salam perkenalan di Threads,” tulisnya.

Perkongsian itu turut menarik perhatian pengguna lain di platform sama, yang rata-rata memuji sikap keterbukaan dan keramahan masyarakat Terengganu.

Seorang pengguna, zahati94, turut menyeru agar pengalaman positif itu diperluaskan.

“Helo @oliviayuqi, tolong sebarkan mesej ini. Inilah masyarakat Terengganu, orangnya baik-baik dan budayanya menarik.

“Kita perlu meyakinkan lebih ramai supaya tidak membenci masyarakat Terengganu hanya kerana perbezaan politik,” katanya.

Dia turut menegaskan bahawa ajaran agama mendorong umat Islam untuk berbuat baik kepada semua tanpa mengira latar belakang, selain menggesa agar keharmonian masyarakat berbilang kaum terus dipelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat