DOF jalin kerjasama RHB Bank tangani spesies ikan asing

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Seramai 250 peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), RHB Bank Berhad dan komuniti telah menyertai program ‘Memburu Ikan Asing’ yang dianjurkan oleh Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh DOF, program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat memelihara ekosistem perairan di samping menangani spesies ikan asing invasif daripada terus membanjiri perairan umum yang boleh menjejaskan habitat ikan asli.

Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur DOF, Datuk Azahari Othman berkata, perkara tersebut tidak boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sahaja malah memerlukan sektor korporat dan semua lapisan masyarakat menangani isu ini secara bersama.

“Oleh hal demikian, kami melakukan kerjasama dengan pihak RHB Bank Berhad bagi menunjukkan usaha memelihara sumber perikanan dan tidak boleh dilakukan satu pihak sahaja,” jelasnya.

Menurutnya, proses pelepasan benih ikan akan dilakukan sebagai langkah untuk meningkatkan biodiversiti di beberapa kawasan.

“Pihak kami bersama RHB Bank Berhad akan melakukan pelepasan benih ikan tempatan di beberapa kawasan perairan.

“Ia sedikit sebanyak dapat bantu memperkayakan biodiversiti di kawasan berkenaan dan juga membuka peluang kepada masyarakat mengambil bahagian dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, tindakan itu merupakan sokongan daripada pihaknya di bawah Strategi Together We Progress 24 (TWP24 RHB) yang mana ia menekankan sokongan komuniti rentan termasuklah golongan B40.

Katanya, ia termasuk melalui sokongan kepada perniagaan kecil dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar.

“Kami berbangga menjadi sebahagian dari program ini dalam memberi tumpuan kepada ancaman spesies ikan invasif di sungai tempatan.

“Ia sedikit sebanyak membantu membina hubungan antara kakitangan, pelanggan, dan komuniti, serta menyokong matlamat kelestarian jangka panjang dan tanggungjawab sosial korporat kami,” katanya.

Untuk rekod, pihak RHB Bank Berhad telah memberi sumbangan 20,000 benih ikan puyu dan 10,000 benih ikan lampam kepada Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai simbolik pelepasan benih ikan di Tasik Varsiti, Universiti Malaya dan Sungai Gombak.

Anda Mungkin Berminat