PETALING JAYA: Berita gembira mula tersebar dalam kalangan doktor kontrak apabila ramai di antara mereka dilaporkan menerima emel rasmi tawaran penjawatan tetap selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif #MADANIBekerja yang bertujuan memperkasakan sektor awam melalui reformasi struktur dan kestabilan kerjaya.
“Mendapat perkhabaran ramai doktor-doktor kontrak telah mendapat emel tawaran penjawatan tetap selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Hartal Doktor Kontrak (HDK) pada satu hantaran di Facebook.
Inisiatif ini turut dilihat sebagai usaha menyelesaikan isu pelantikan kontrak yang telah membelenggu ribuan tenaga kesihatan sejak tahun 2016.
Menurut laporan sebelum ini, sebanyak 4,352 jawatan tetap akan diisi menjelang hujung tahun ini melibatkan doktor perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Walaupun doktor-doktor kontrak kini meraikan berita ini, harapan turut disuarakan agar pekerja kesihatan lain seperti jururawat, pegawai farmasi dan pembantu perubatan yang masih berstatus kontrak tidak dipinggirkan.
“Harapnya pekerja-pekerja kesihatan KKM berstatus kontrak yang lain juga akan mendapat tawaran tetap dalam masa terdekat,” kata HDK.
Langkah itu turut disambut baik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dan persatuan perubatan yang melihatnya sebagai titik tolak baharu ke arah sistem kesihatan yang lebih mampan dan adil.
Untuk maklumat lanjut atau semakan status penjawatan, warga kesihatan boleh merujuk portal rasmi KKM dan teruskan komunikasi melalui emel yang telah dihantar.








