Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia kini dianggarkan mempunyai sebanyak 3.38 juta penduduk bukan warganegara di Malaysia pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan menurun kepada 0.5 peratus berbanding 2024.
Penurunan daripada 10 peratus (2024) kepada 9.9 peratus (2025) dimaklumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Statistik Migrasi Antarabangsa, Malaysia, 2025.
“Secara keseluruhan, 33 daerah pentadbiran mencatatkan komposisi penduduk bukan warganegara melebihi paras nasional (9.9 peratus) pada 2025,” katanya.
Ketua Perangkawan (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penerbitan ini menjadi asas kepada pembangunan sistem data migrasi antarabangsa yang lebih tersusun dan konsisten selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Bagi permulaan penyediaan statistik migrasi antarabangsa Malaysia, tumpuan adalah terhadap statistik stok migran iaitu penyediaan statistik komprehensif bagi stok penduduk bukan warganegara di Malaysia dan stok warganegara Malaysia di luar negara.
“Penyediaan statistik stok ini akan terus dipertingkatkan melalui liputan data lebih luas serta penambahbaikan metodologi bagi memastikan ketepatan, kebolehpercayaan dan keseragaman data.
“DOSM akan terus memantapkan koordinasi dengan agensi berkaitan untuk menyokong penyediaan statistik migrasi antarabangsa yang lebih tepat, menyeluruh dan bermanfaat bagi dasar serta perancangan negara,” katanya.
Menurut DOSM, statistik itu merupakan input penting bagi penggubalan polisi dan perancangan program berkaitan migrasi antarabangsa serta sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik.
Migrasi antarabangsa memainkan peranan penting dalam pembentukan struktur kependudukan negara dengan implikasi langsung terhadap pasaran buruh, penyediaan perkhidmatan sosial dan perancangan pembangunan sosioekonomi.
“Oleh itu, ketersediaan statistik migrasi antarabangsa yang berkualiti dan boleh dipercayai adalah asas penting bagi menyokong penggubalan polisi dan membuat keputusan,” ujarnya.
Baca juga:








