PUTRAJAYA: Kadar pengangguran negara kekal pada paras 3.0 peratus pada Oktober 2025 dengan 518,900 orang direkodkan menganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh terus menunjukkan prestasi positif disokong aktiviti ekonomi yang rancak serta pertumbuhan guna tenaga yang berterusan.
“Tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.58 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bilangan penduduk bekerja turut meningkat 0.2 peratus kepada 17.06 juta orang, sementara jumlah penganggur naik sedikit 0.1 peratus kepada 518,900 orang, namun kadar pengangguran keseluruhan tidak berubah.
Menurut DOSM, sektor Perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama pertumbuhan guna tenaga, khususnya dalam subsektor penginapan dan makanan & minuman, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.
Sektor Pertanian, Pembuatan dan Pembinaan juga mencatat pertambahan guna tenaga, manakala sektor Perlombongan dan Pengkuarian merekodkan penurunan.
Dalam perkembangan sama, bilangan penduduk bekerja kurang 30 jam seminggu terus menurun kepada 233,200 orang, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan masa susut kepada 126,400 orang atau 0.7 peratus.
Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.1 peratus, sementara pengangguran belia 15 hingga 30 tahun menurun kepada 6.1 peratus pada Oktober 2025.
DOSM memaklumkan prospek pasaran buruh negara dijangka kekal berdaya tahan disokong pertumbuhan ekonomi sederhana dan pelaburan strategik, selain Malaysia turut mencatat pencapaian global apabila menduduki tempat pertama dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 hasil ketelusan dan kualiti data negara.
Baca juga:








