Dr Maszlee Sambut Baik Titah Agong, Malaysia Bersatu Menentang Buli

PETALING JAYA: Mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyambut titah DYMM Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong, yang mengarahkan pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh.

Titah tersebut, yang disampaikan baru-baru ini, telah mencetuskan gelombang sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan kementerian.

Menurut Dr Maszlee, ia bukan sekadar arahan pentadbiran tetapi satu panggilan jiwa.

“Titah Tuanku ini bukan sekadar nasihat, ia adalah mandat moral untuk seluruh kerajaan dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menyifatkan titah tersebut sebagai suara seorang bapa kepada rakyat yang melihat isu buli bukan sekadar statistik tetapi sebagai penyakit sosial yang merosakkan jiwa generasi muda.

“Titah ini melangkaui politik dan birokrasi, ia seruan seorang bapa yang mahu anak-anaknya dilindungi,” katanya.

Sultan Ibrahim turut mengarahkan Kementerian Komunikasi untuk memimpin kempen ini, sekali gus menandakan pemahaman mendalam tentang keperluan menyampaikan mesej secara pantas dan meluas melalui media digital.

“Tuanku memahami bahawa mesej mesti sampai cepat, luas dan berkesan melalui TV, radio dan media sosial,” ujarnya.

Katanya, arahan rentas kementerian yang turut melibatkan sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan dan komuniti ibu bapa menunjukkan pendekatan holistik yang diperlukan untuk menangani isu buli secara berkesan.

Sebagai pendidik, Dr Maszlee mengakui bahawa isu buli telah lama wujud, namun sering terhenti apabila berlaku pertukaran kerajaan.

“Titah DYMM Agong kali ini wajib menjadi pemacu supaya kerajaan benar-benar melaksanakan pelan rentas kementerian dalam tempoh terdekat tanpa bertangguh lagi.

“Kita tidak boleh gagal lagi. Sudah tiba masanya budaya buli ditamatkan dan diganti dengan budaya hormat, disiplin dan kasih sayang,” katanya lagi.

Terdahulu, Titah Sultan Ibrahim telah disambut oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelbagai agensi lain, yang kini giat merangka pelan pelaksanaan menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat