Oleh: Tyah Helmi
KOD pemakaian Konsert Inteam 26: Nur Kasih pada Ahad ini seakan simbolik solidariti kepada pembebasan bumi Gaza kerana warnanya meliputi hijau, putih, merah dan hitam, bagaikan buah tembikai yang begitu lazim dengan pembebasan Palestin khususnya.
Namun yang lebih penting, warna-warna tersebut rasmi akan menjadi warna pakaian para peminat yang bakal memenuhi seluruh ruang arena Axiata Arena, kata pihak penganjur, Icon Entertainment.
“Kod pemakaian, mudah dan menyenangkan.
“Warna-warna sebagai kod pemakaian ke konsert 1 Februari 2026 adalah hitam, putih, merah dan hijau sebagai warna rasmi untuk 25 Tahun Inteam Nur Kasih kelak. Jumpa di sana,” katanya.
Dalam pada itu, debaran kian terasa apabila berbaki satu hari sahaja lagi Inteam bakal menyejukkan hati para peminat dengan alunan nasyid yang penuh syahdu dengan lagu-lagu popular mereka sepanjang 25 tahun di dalam industri tanah muzik negara.

Menerusi kenyataan sama, Icon Entertainment turut memaklumkan buat pembeli tiket elektronik yang belum menukarkan tiket kepada bentuk fizikal, mereka boleh menukarkannya di Booth Ticket2U yang terletak di sebelah kiri pintu utama Axiata Arena pada 1 Februari 2026.
Difahamkan, untuk penukaran tiket fizikal ini, peminat perlu menambah RM10 dengan tiket fizikal yang ditukar juga akan dimasukkan ke dalam kotak cabutan bertuah bagi memberi peluang kepada para peminat memenangi pelbagai hadiah menarik sepanjang malam konsert.
Untuk rekod, konsert akan diserikan dengan beberapa artis jemputan yang bakal bersama-sama mengalun emosi alunan nasyid yang menampilkan maestro muzik Datuk M. Nasir, Nazrey Johani, dan Zizi Kirana.
Baca juga:








