Dua lelaki warganegara tempatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol ketika sekatan jalan raya (SJR) di jalan Sungai Danga, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Kumarasan A/L Muniandy berkata, penahanan dua lelaki berusia 29 dan 39 tahun itu dibuat sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerusi Op Mabuk bermula pada 21 Mei pukul 11 malam sehingga 22 Mei pukul 5 pagi.
“Tujuan operasi tersebut bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas serta mengesan dan menangkap pemandu yang masih berdegil kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Dalam operasi tersebut seramai 35 individu dan sebanyak 26 buah kenderaan telah diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Kumarasan, BSPTD Iskandar Puteri juga telah mengeluarkan 17 keping notis saman diatas pelbagai kesaahan yang dilakukan semasa operasi tersebut dijalankan.
Katanya, beliau memandang serius perkara ini dan memberikan amaran keras kepada pemandu yang masih berdegil, pihak polis tidak akan berkompromi dengan pemandu yang memandu dibawah pengaruh alkohol.
Difahamkan, operasi secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan. Jangan kerana ingin berseronok nyawa pula yang dipertaruhkan.
Baca juga: