PONTIAN: Polis Daerah Pontian berjaya menahan dua remaja tempatan yang disyaki terlibat dalam kes samun terhadap seorang pemandu e-hailing di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Johor, selepas mangsa cedera dan kenderaannya dilarikan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supt. Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, laporan pertama diterima pada 10 April 2026 sekitar pukul 8.51 pagi.
Susulan maklumat risikan awam, satu serbuan dijalankan pada 11 April 2026 antara pukul 7 pagi hingga 2 petang di kawasan Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Pasukan Task Force Lejang IPD Pontian.
“Hasil daripada operasi berkenaan, pasukan serbuan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun dan seorang perempuan tempatan berumur terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod lampau jenayah dan satu kesalahan narkotik, manakala suspek perempuan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Polis turut merampas semula kereta Proton Saga warna perak yang dilarikan serta pelbagai barangan milik mangsa termasuk beg tangan, dompet, kad pengenalan, telefon bimbit, pakaian dan kasut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM30,000.
“Saringan ujian air kencing mendapati lelaki tempatan berkenaan positif dadah jenis methamphetamine manakala perempuan tempatan negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” jelas beliau.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan samun dengan cara menjerut leher mangsa menggunakan tali sling sebelum menarik mangsa keluar dari kenderaan dan melarikan diri bersama kereta serta barangan peribadi ke Johor Bahru.
Mangsa kini dilaporkan stabil dan menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan; Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori antara satu hingga tujuh tahun bagi kesalahan mencuri kenderaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda serta pengawasan polis selama dua tahun.
Hadzrat berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam jenayah kekerasan.
“Tindakan tegas dan eksekutif akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada Bilik Gerakan IPD Pontian melalui talian hotline 07-687 9999 atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).








