Dua remaja lepasan SPM maut, 3 parah nahas Myvi hilang kawalan

ALOR SETAR: Dua remaja lelaki maut, manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan merempuh penghadang jalan di Tanjung Bendahara, semalam.

Difahamkan, kesemua mangsa berusia 18 tahun dan dipercayai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam sebelum anggota dari BBP Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah Perodua Myvi dinaiki lima remaja terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Dua daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), sementara dua lagi yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menggunakan EMRS Bomba. Seorang lagi mangsa turut dibawa ke hospital yang sama dengan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian masih dijalankan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat