Langgar Syarat Perikanan, Dua Vesel Ditahan Maritim Malaysia

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dalam Op Khas TANJUNG 2 pada 19 Februari lalu selepas disyaki menangkap ikan kurang daripada satu batu nautika dari daratan terhampir.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten (M) Mohamad Shukri
Khotob berkata, kedua-dua vesel terbabit dipercayai melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

Penahanan dilakukan oleh Bot Penggalang 1639 milik Maritim Malaysia ketika rondaan penguatkuasaan di perairan barat daya Pulau Katak.

“Vesel pertama dikesan beroperasi pada jarak 0.8 batu nautika dari daratan dengan 16 kru terdiri daripada lapan warga tempatan, enam warga India dan dua warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, vesel kedua pula dikesan pada jarak 0.5 batu nautika bersama 14 kru membabitkan empat warga tempatan dan 10 warga Indonesia.

“Kedua-dua vesel dan kru kemudiannya diiring ke Jeti LKIM Kampung Acheh dan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Shukri menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran zon penangkapan ikan dan syarat lesen.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang perikanan dipatuhi serta sumber laut negara terus terpelihara,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku atau aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 8737 bagi tindakan segera.

Anda Mungkin Berminat