Oleh: Azmi Ahmad
ULASAN | Dulu, sebut sahaja Musang King, harganya boleh cecah RM100 sekilo. Orang panggil ia “Emas Kuning”. Tapi hari ini, emas itu sedang mencair.
Harga jatuh sehingga RM16.80/kg bukan satu perkara biasa, ia adalah satu amaran kecemasan ekonomi untuk industri durian Malaysia.
1. Dominasi Thailand & Logistik Luar Biasa
Kenapa Thailand menang? Mereka bukan sahaja ada Monthong, tapi mereka ada Keretapi China-Laos.
• Analisis: Lebih 6,300 tan durian mendarat di Guangzhou dalam satu hujung minggu! Logistik Thailand sangat efisien. Mereka “banjirkan” China dengan buah segar pada harga yang Malaysia susah nak lawan (40 Yuan/kg). Apabila pasaran China tepu dengan bekalan Thailand, permintaan untuk Musang King yang lebih mahal terus menjunam.
2. Perangkap “Export-Grade Clones”
Laporan menyebut isu ‘oversupply berpunca daripada klon gred eksport.
• Masalahnya: Malaysia terlalu fokus tanam Musang King untuk eksport. Apabila pembeli China beralih arah atau ekonomi mereka perlahan, kita tiada “Pelan B”. Buah gred eksport ini akhirnya melimpah ke pasaran domestik, menyebabkan harga jatuh mendadak kerana rakyat tempatan sendiri pun tak mampu nak telan bekalan sebanyak itu pada harga asal.

3. Kejatuhan Ri6 di Vietnam: Isyarat Pasaran Serantau
Di Vietnam, harga Ri6 jatuh dari 140,000 VND kepada 55,000 VND. Ini membuktikan tsunami ini bukan sahaja melanda Malaysia, tapi seluruh Asia Tenggara. Persaingan antara Ri6 (Vietnam), Monthong (Thailand), dan Musang King (Malaysia) kini menjadi “Perang Harga” yang sangat kejam.
Pendapat Analitikal (The Silent Architect’s Insight)
Kita sedang menyaksikan pecahnya gelembung durian (durian bubble burst). Selama ini, harga durian Malaysia dipacu oleh spekulasi pasaran China yang sanggup bayar harga ‘kayangan’.
Apabila Thailand dan Vietnam masuk dengan skala besar dan logistik yang lebih murah, Musang King hilang keunikan eksklusifnya.
Nasihat saya kepada pekebun: Jangan letak semua telur dalam satu bakul. Terlalu bergantung kepada klon eksport adalah satu risiko besar. FAMA perlu lebih agresif dalam memproses durian menjadi pulp atau paste untuk simpanan jangka panjang bagi mengelakkan lambakan buah segar yang cepat rosak.
Kualiti mungkin di tangan kita, tapi kuantiti dan harga kini dikawal oleh Beijing dan Bangkok.
***Penulis adalah perunding kewangan dan sentiasa berkongsi tentang pelaburan serta geopolitik di media sosialnya








