Oleh: Muhammad Izzat al-Kutawi
ULASAN | Mercun raya di sana-sini adalah bukti ramai orang Melayu Islam yang ada lebihan wang, tetapi “bodoh”.
Bila ditegur, kata mereka, “Apa salahnya guna duit sendiri?” Ini “kebodohan” yang kedua. (Maafkan saya kerana menggunakan perkataan ini. Perkataan lain — seperti “b*ng*ng” terlalu kasar untuk saya gunakan.)
Kenapa mereka layak dihukum “bodoh”?
Mercun secara umumnya, kalau pun bermanfaat, termasuk dalam perkara yang tidak mempunyai manfaat yang diiktiraf oleh syarak. Ia seperti yang disifatkan ramai, “membakar duit”. Oleh itu, menyalurkan wang untuk membeli mercun termasuk dalam pembaziran. Membazir hukumnya haram, walaupun sedikit dan walaupun menggunakan wang sendiri.
Barangkali ramai yang tidak tahu bahawa dalam fiqh, orang yang membazirkan wang sendiri layak dihukum safīh, dan kalau telah sah dihukum safīh oleh hakim, maka mereka setaraf dengan kanak-kanak dan orang yang berstatus muflis yang dihalang daripada menguruskan harta sendiri sesuka hati. Jadi, sekarang faham kenapa hujah “bukan guna duit kau pun” itu suatu “kebodohan”?

Dalam al-Mawsū‘aḧ al-Fiqhiyyaḧ al-Kuwaytiyyaḧ disebutkan:
“Orang yang boros dalam menggunakan harta dianggap safīh di sisi fuqaha kerana ia membazirkan harta dan mensia-siakannya dengan cara yang bertentangan dengan kehendak syarak dan kewarasan, dan ini makna safah di sisi mereka. Oleh itu, biasa disebutkan oleh fuqaha bahawa safah (kebodohan) adalah membazir, dan safīh adalah orang yang membazir.”
Ini jika membakar mercun itu sama secara literal dengan membakar duit yang sekadar mengeluarkan asap. Jika mengambil kira pencemaran bunyi dan gangguan kententeraman awam disebabkan bunyi mercun yang sangat-sangat mengganggu orang-orang di sekeliling, hukumnya bukan setakat “kebodohan” lagi, kerana pelakunya adalah manusia yang jahat dan tidak ada “common sense”.
“Muslim adalah orang yang tidak tangan dan lidahnya tidak mengganggu Muslim yang lain.” Andaikan sahaja bermain mercun itu hak si safīh, adakah hak untuk berhibur lebih tinggi daripada hak orang lain untuk tidak diganggu?
Kemudian, antara kita masih ramai yang susah. Kalau perasan, semasa solat raya, ada antara jemaah yang memakai baju lama. Kalau mereka tidak suka atau tidak bersedia untuk menyambut hari raya, tiadalah pula mereka ke masjid bersolat raya. Jadi, sudah tentu mereka tidak mampu membeli baju baru kerana tiada duit. Tidak terfikirkah golongan “bodoh” ini perasaan orang-orang susah yang mendengar bunyi duit dibakar di sekeliling mereka?
Selain yang disebutkan, bermain mercun juga membahayakan kesihatan dan keselamatan. Ini salah satu faktor Jabatan Mufti Negeri Sembilan melarang mercun yang menguatkan lagi kejijikannya. Kata mereka:
“Membakar mercun atau bunga api bukan budaya orang Islam. Islam melarang membakar mercun atau bunga api kerana perbuatan membazir wang ringgit dan harta benda, bunga api juga sangat merbahaya dan memudaratkan jiwa, kesihatan seperti hilang penglihatan, terbakar anggota badan, atau menderita akibat kecederaan serius dan boleh juga mengakibatkan kebakaran.”
Disebabkan golongan sufahā’ ini sudah begitu bermaharajalela sampai ke tahap bermain mercun ketika orang sedang solat di masjid dan ada yang berbangga berhabis duit sebanyak RM10,000 untuk bunga api, saya rasa tidak ada cara lain selain memulau “saudara-saudara syaitan” ini.
Jangan beri zakat kepada mereka.
Jangan beri sedekah kepada mereka.
Jangan beri duit raya kepada mereka.
Kepada yang masih berkeras hendak bermain mercun, silakan.
Orang-orang yang berasa dizalimi dengan bunyi mercun kalian berhak mendakwa kalian di akhirat. (Tidak terkecuali juga pihak yang bertanggungjawab membenarkan penjualan mercun) Jumpa di sana.
***Penulis sentiasa melontarkan isu semasa di media sosialnya








