Oleh: Haikal Tajuddin
GAZA: Dalam satu langkah berani, Kerajaan Mesir kini dalam perancangan untuk membina semula Gaza tanpa memindahkan warga Palestin.
Menurut laporan Al Jazeera, usaha itu dianggap sebagai alternatif terbaik untuk menentang tindakan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berhasrat mengambil alih wilayah tersebut.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty dalam kenyataannya kepada akhbar Al-Ahram berkata, Kaherah sedang mengusahakan pelan menyeluruh untuk memulihkan Gaza.
“Kaherah sedang secara aktif membangunkan rancangan berperingkat untuk pemulihan awal dan pembiayaan semula Gaza.
“Dijangka rancangan tersebut akan dimuktamadkan pada minggu hadapan, manakala fasa pertamanya dijangka bermula selepas sidang kemuncak Arab kecemasan di Kaherah pada 27 Februari nanti,” katanya.
Arab Saudi pula mengumumkan akan menjadi tuan rumah kepada pegawai dari Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan pada hari Khamis sebagai sebahagian daripada pertemuan lima pihak di ibu kota Riyadh.
Pertemuan itu diadakan untuk membincangkan pelan pembinaan semula Gaza seperti yang dicadangkan oleh Kaherah.
Pada awal bulan lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan niatnya untuk mengambil alih Gaza dan merancang pemindahan warga Palestin dari wilayah tersebut.
Cadangan itu disokong oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Namun, rancangan Trump itu mencetuskan reaksi balas hebat dengan pemimpin dari Asia Barat dan seluruh dunia menolaknya sebagai tidak praktikal dan menyalahi undang-undang.
Netanyahu tetap menegaskan bahawa rancangan tersebut yang menurut Trump melibatkan penghantaran penduduk Gaza ke negara-negara jiran dan mengambil “pemilikan jangka panjang” ke atas wilayah itu yang merupakan satu “idea yang luar biasa.”