Ekonomi MADANI Pacu Kemampanan, Kesejahteraan Negara – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Ekonomi MADANI menjadi tunjang utama dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebagai kerangka pembangunan baharu yang menyeluruh, seimbang dan mampan.

Dalam pembentangan usul RMK13 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, Ekonomi MADANI berpaksikan kepada tiga prinsip utama iaitu kemampanan, kesejahteraan rakyat dan tatakelola berintegriti yang menjadi asas pembaharuan struktur sosioekonomi negara.

“Ekonomi MADANI bukan sekadar satu gagasan tetapi dasar pembangunan yang mengutamakan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial serta bertitik tolak daripada nilai insaniah yang luhur,” tegas beliau.

Beliau berkata, di bawah kerangka ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk reformasi fiskal, pemerkasaan agensi penguatkuasaan dan penggubalan lebih 80 undang-undang utama bagi menambah baik ketelusan, kebertanggungjawaban serta integriti dalam pentadbiran negara.

Daripada segi kemampanan, katanya, RMK13 memberi fokus kepada pembangunan hijau, tenaga boleh baharu, ekonomi digital serta inovasi teknologi yang akan memacu pertumbuhan jangka panjang tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, kesejahteraan rakyat pula dijadikan matlamat teras dengan inisiatif peningkatan gaji minimum, peluasan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pelaksanaan subsidi bersasar serta pemerkasaan pendidikan dan latihan TVET.

“Kerajaan MADANI komited memastikan tiada rakyat yang tercicir.

“Kesejahteraan bukan untuk segelintir tetapi untuk seluruh warga Malaysia,” ujar Perdana Menteri.

Tambah beliau, kejayaan pelaksanaan Ekonomi MADANI turut bergantung kepada keberanian melakukan reformasi, keberkesanan pelaksanaan dan sokongan berterusan rakyat.

RMK13 dijangka menjadi pelan tindakan menyeluruh dalam mengangkat Malaysia ke arah status negara maju yang bukan sahaja kompetitif di peringkat serantau, malah dihormati di mata dunia.

Anda Mungkin Berminat