Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Madani melancarkan portal Papan Pemuka Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi rujukan sahih buat rakyat sekali gus mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri melancarkan inisiatif itu di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia pada Rabu.
“Alhamdulillah, hari ini Dashboard Status Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah pun diluncurkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia.
Peluncuran dashboard ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh ketelusan, pemantauan bersepadu serta akses maklumat yang lebih jelas dan terbuka kepada rakyat berhubung perkembangan pelaksanaan MA63,” katanya,
Mustapha berkata, menerusi inisiatif itu, rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak kini dapat mengikuti status pelaksanaan perkara-perkara di bawah MA63 dengan lebih tepat dan berasaskan data sebenar.
Kata beliau, papan pemuka tersebut juga berperanan sebagai platform rujukan awam yang membolehkan rakyat mendapatkan maklumat sahih serta perkembangan semasa berkaitan pelaksanaan MA63.
“MA63 merupakan asas penting pembentukan Persekutuan Malaysia dan wajar terus dipelihara sebagai agenda nasional yang mencerminkan prinsip keadilan dan kesaksamaan antara wilayah.
Insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan agar keadilan wilayah benar-benar dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang nyata serta memberi manfaat langsung kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam kenyataan berasingan, Fadillah berkata, portal yang dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) itu bakal menyediakan akses kepada maklumat latar belakang perjanjian, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta status perundingan semasa.
“Portal ini membolehkan orang ramai meneliti perincian berkaitan MA63, latar belakang berhubung kait dengan perjanjian tersebut serta aktiviti BHESS mengenai status perundingan di bawah MA63,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan papan pemuka berkenaan.
Baca juga:








