Oleh: Tyah Helmi
MALAM Sabtu menjadi saksi kepada sebuah peristiwa bersejarah dalam dunia muzik tanah air apabila lima figura wanita yang pernah mendominasi era 90-an kembali bersatu di pentas mega menerusi konsert Elite Live 25 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kumpulan Elite yang dibarisi Abby Abadi, Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin dan Watie Sadali tampil penuh gaya dan semangat, mengubati kerinduan puluhan ribu peminat yang membanjiri dewan demi menyaksikan kemunculan semula legenda muzik wanita negara.
Konsert anjuran Icon Entertainment di bawah kelolaan Iman Tang itu digarap dengan sentuhan visual moden, pancaran lampu dramatik dan efek khas yang menjadikan pentas KLCC seakan arena antarabangsa.
Sebaik pentas bernyala, Elite membuka tirai dengan rangkaian lagu rancak seperti Ladiva, Merbahaya, Aku, Siapa Kau Siapa dan Mengerti, mencetuskan sorakan gemuruh dari peminat yang sudah lama menanti detik itu.
Selepas lagu pembukaan, suasana menjadi lebih mesra apabila Linda Rafar berjenaka tentang rasa lenguh dan semput selepas empat lagu berturut-turut, mencuit hati penonton yang membalas dengan gelak tawa dan tepukan hangat.

Konsert diteruskan dengan lagu-lagu ikonik seperti Sesuatu Dalam Dirimu, Dua Hati dan Bila, memperlihatkan kematangan vokal dan harmoni yang masih utuh meskipun sudah dua dekad berlalu.
Momen kejutan hadir apabila kumpulan lelaki Gen-Z, Alpha, bergandingan bersama Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga, menyatukan generasi lama dan baharu dalam satu persembahan penuh simbolik.
Nostalgia semakin terasa apabila Elite mengimbau detik pahit manis mereka termasuk kemelut tahun 1999 apabila Abby Abadi mengundurkan diri daripada kumpulan.
Namun malam itu menjadi bukti bahawa ukhwah mereka kekal utuh.
“Saya masih nak bersama dengan kawan-kawan (Elite) kerana ukhwah ‘abadan-abadan’.
“Kalau bukan kerana konsert macam ini, memang susah nak jumpa, jadi saya sangat bersyukur Allah temukan kami selepas 25 tahun,” kata Abby dalam nada sebak.
Watie pula berkongsi cabaran menjayakan konsert itu.
“Kami hanya ada tiga bulan untuk berlatih. Kadang-kadang langsung tak cukup tidur.
“Semua kerana kami nak bagi yang terbaik buat peminat.
“Terima kasih Icon Entertainment kerana beri peluang ini, ini memang impian saya,” katanya.
Konsert terus digegarkan dengan segmen medley dan lagu-lagu popular seperti Catwalk, Dirinya Dirimu, Susah Jadi Senang, Alhamdulillah, Trauma dan Gig, sebelum kemunculan kumpulan X Factor sebagai artis jemputan kedua menerusi lagu Bertuah dan 7251364.
Sasha menyerlah dengan vokal bernada tinggi meskipun sudah lama menetap di luar negara, manakala Linda kekal bertenaga dengan tarian dan nyanyian walaupun sibuk dengan perniagaan dan keluarga.
Azza pula menceriakan pentas dengan rap dan celotehnya yang menghiburkan.
Selepas lebih dua jam beraksi, Elite menutup malam penuh magis itu dengan dua lagu keramat iaitu Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu.
Seluruh dewan berdiri, menari dan menyanyi bersama, menandakan kerinduan peminat akhirnya benar-benar terubat.
Di sebalik kehebatan persembahan, tenaga pengarah muzik Johan John bersama barisan pemuzik profesional seperti Eddie Slam (keyboard), Reezal dan Wan Gigi (gitar), Aneb (bass), Daniel Saha (drum), Fareez (programmer) serta vokal latar Yuaz dan Eja turut memainkan peranan penting menjadikan Elite Live 25 sebuah konsert yang akan dikenang sepanjang zaman.








