Enam Lelaki Ditahan Kes Samun Bersenjata Menyamar Polis Di Kepong

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan enam lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata dengan menyamar sebagai pegawai polis dalam beberapa kejadian di sekitar Kepong, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada mangsa warga asing iaitu dua rakyat China dan seorang wanita Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun.

Kejadian berlaku pada 5 April lalu antara pukul 5.30 pagi hingga 7.30 pagi apabila enam suspek dipercayai memecah masuk kediaman mangsa dengan menyamar sebagai penjawat awam.

“Salah seorang suspek bertindak mengacu objek menyerupai pistol ke arah mangsa sebelum melakukan samun.

“Dalam kejadian itu, suspek melarikan tiga kenderaan mewah jenis Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, 1,200 dolar Amerika, barang kemas serta dua jongkong emas dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM4.4 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menahan tiga suspek pertama pada hari sama kira-kira pukul 8.45 malam.

Penahanan itu membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek, menjadikan keseluruhan enam individu berusia antara 31 hingga 51 tahun ditahan.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas dua pistol, lima kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit serta dua pas keselamatan.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula tarikh tangkapan, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada mereka positif amphetamine.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Anda Mungkin Berminat