ETS Terus ke JB Sentral Bermula 12 Disember, Tambang Sehala Bermula RM82

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulakan operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) terus ke JB Sentral bermula 12 Disember 2025.

KTMB memaklumkan empat perkhidmatan sedia ada laluan KL Sentral–Kluang–KL Sentral akan dilanjutkan ke JB Sentral sebagai fasa awal pengoperasian sektor selatan.

Langkah itu menandakan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) melibatkan jajaran 192 kilometer dengan 11 stesen, manakala perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berperingkat selaras proses pentauliahan set tren.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata perkhidmatan baharu itu membolehkan penumpang dari Johor menikmati perjalanan terus ke KL Sentral sebelum bersambung ke destinasi lain.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pelancongan dan ekonomi Johor termasuk menarik pelancong Singapura menggunakan kereta api,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiket boleh dibeli mulai 9 Disember 2025 jam 12.30 tengah malam menerusi aplikasi KITS Style, mesin kios dan laman rasmi KTMB, dengan jualan dibuka sehingga Mei 2026.

Kadar tambang sehala bagi laluan KL Sentral–JB Sentral bermula RM82, manakala harga bagi hentian lain boleh disemak melalui aplikasi KITS Style.

Bersempena musim cuti sekolah dan akhir tahun, KTMB turut menawarkan diskaun 30 peratus bagi ETS sektor selatan untuk perjalanan 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026 menggunakan kod promosi JBBEST, terhad kepada 5,000 penebusan.

Untuk rekod, peluasan ETS ke Johor merupakan sebahagian pelan integrasi pengangkutan rel nasional bagi meningkatkan kesalinghubungan antara wilayah, mempercepat pergerakan domestik dan merancakkan aktiviti pelancongan serta perniagaan dua hala.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat