Fadhlina Umum Inisiatif Strategik KPM Catat Pencapaian

PETALING JAYA: Di tengah cabaran negara mengekalkan kestabilan dan keamanan ketika krisis tenaga global, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya merekodkan deretan pencapaian penting sepanjang Mei hingga awal Jun 2026.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah melancarkan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh sistem pendidikan negara, selaras dengan aspirasi reformasi pendidikan nasional.

Menurut beliau, antara langkah utama yang diperkenalkan termasuk Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid KPM, pelancaran portal serta pelantikan Pasukan Prakarsa Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, pemerkasaan Sekolah Menengah Teknik serta pelaksanaan inisiatif iPayment KPM.

“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid KPM perlu menjadi rujukan utama bagi memastikan institusi pendidikan terus berfungsi sebagai ruang pembelajaran yang selamat, kondusif dan sejahtera,” katanya.

Katanya, dokumen tersebut dibangunkan dengan kerjasama pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi memperkukuh perlindungan murid serta keselamatan persekitaran sekolah.

Dalam masa sama, Fadhlina turut memaklumkan bahawa portal RPM 2026-2035 diwujudkan sebagai platform penyampaian maklumat yang lebih cekap berhubung agenda reformasi pendidikan negara.

“Keberhasilan RPM 2026-2035 bergantung kepada sejauh mana warga pendidikan dan masyarakat memahami, menerima serta bergerak seiring dengan hala tuju yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Fadhlina, satu lagi pencapaian penting ialah penyerahan rasmi kesemua sembilan Sekolah Menengah Teknik kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) yang disifatkan sebagai langkah besar dalam usaha memartabatkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Sepanjang Mei, KPM turut mencatat kejayaan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang menarik lebih 2.4 juta pengunjung, sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperluas akses pembacaan dan memperkukuh budaya ilmu.

Selain itu, KPM menerima Anugerah Perdana menerusi Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (IAKKP), sebagai pengiktirafan terhadap usaha kementerian memperkukuh pengurusan keselamatan fizikal, dokumen, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta keselamatan peribadi.

Sehubungan itu, Fadhlina menyeru seluruh warga KPM agar terus meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kerjasama menjelang suku ketiga tahun ini, demi merealisasikan hasrat memartabatkan sistem pendidikan negara ke tahap lebih cemerlang.

Anda Mungkin Berminat