PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil, menziarahi mangsa kebakaran yang berlaku berhampiran Stesen KTM Pantai Dalam malam tadi, yang memusnahkan 14 rumah setinggan dan empat buah premis perniagaan.
Lawatan tersebut berlangsung pagi tadi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di mana Fahmi turut mendengar sendiri keluhan serta keperluan mangsa yang terkesan.
“Pejabat Parlimen Lembah Pantai akan memastikan setiap keluarga menerima bantuan segera,” katanya dalam satu kenyataan ringkas selepas lawatan tersebut.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat dan agensi terlibat yang bertindak pantas dalam mengawal situasi malam kejadian.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 11.11 malam dan mengerahkan 36 anggota dari empat balai berdekatan.
Kebakaran dipercayai bermula dari kawasan rumah setinggan sebelum merebak ke premis berhampiran termasuk Mydin Mart dan Pasar Raya Karnival.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan seluas 0.074 hektar, serta premis kedai melibatkan kawasan seluas 0.223 hektar.
Baca juga:







