FAM Akan Rayu Keputusan FIFA Berkaitan Pemain Warisan

KUALA LUMPUR : Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemain warisan yang membabitkan skuad kebangsaan.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya menerima keputusan rasmi daripada FIFA dan menegaskan bahawa FAM serta pemain-pemain terbabit telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses tersebut.

Beliau menjelaskan, segala dokumentasi dan prosedur berkaitan telah diuruskan dengan telus mengikut garis panduan yang ditetapkan, malah FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi mewakili Malaysia.

“Sehubungan dengan keputusan ini, FAM akan membuat rayuan dan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, FAM kekal komited bertindak secara tegas, mematuhi peraturan antarabangsa dan mempertahankan integriti bola sepak negara.

Tambahnya, FAM juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap proses dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.

Menurut beliau, sebarang perkembangan lanjut mengenai proses rayuan dan langkah susulan oleh FAM akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat