FAM bakal cabar keputusan FIFA, kemuka rayuan kepada CAS

Oleh: Tyah Helmi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan Pertanyaan Rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas badan induk ini serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika memaklumkan mengenai perkembangan terkini berkaitan proses rayuan badan induk itu ke CAS.

Beliau berkata, CAS telah menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari hingga 18 Disember 2025 untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.

“FAM menegaskan komitmen penuh untuk melalui proses ini secara profesional, telus dan menghormati semua prosedur perundangan yang telah ditetapkan.

“Segala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat susulan daripada keputusan jawatankuasa berkenaan pada 3 November lalu yang menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit.

Keputusan itu menyaksikan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu kekal, manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat