PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memberikan penjelasan rasmi kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia berhubung kekeliruan mengenai pembentangan penyata kewangan dan bajet tahunan badan induk itu.
Dalam satu kenyataan, FAM memaklumkan bahawa surat rasmi bertarikh 8 Jun 2026 telah dikemukakan kepada pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia bagi menjelaskan isu yang timbul semasa Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026 pada 4 Jun lalu.
Penjelasan tersebut dibuat susulan beberapa kenyataan dan dakwaan yang menimbulkan persepsi seolah-olah FAM tidak membentangkan penyata kewangan teraudit serta bajet tahunan kepada ahli gabungan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM menegaskan komitmen untuk terus mematuhi undang-undang dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM menghormati peranan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Pembangunan Sukan 1997 dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkenaan dalam apa jua perkara yang memerlukan penjelasan lanjut,” menurut kenyataan itu.








