PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Malaysia, Kerajaan Madani menganjurkan Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, sebagai pentas merayakan kepelbagaian seni dan warisan budaya yang menjadi nadi perpaduan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam hantaran di Facebooknya berkata, festival tersebut sebagai lambang kekuatan Malaysia yang bukan hanya bertunjangkan kemajuan ekonomi, tetapi juga berpaksikan kerencaman budaya yang menyatukan rakyat.
“Menjelang Hari Malaysia, festival ini mencerminkan kekuatan kita yang tidak sekadar berpaut pada kepesatan pembangunan ekonomi tetapi juga berpasak kukuh pada kerencaman budaya yang menyatukan rakyat dan menyalakan semangat persaudaraan,” katanya.
Festival lima hari yang berlangsung dari 12 hingga 16 September 2025 itu menampilkan pelbagai persembahan seni warisan, pertandingan budaya Malaysia dan ASEAN serta pesta makanan terbesar yang menghimpunkan cita rasa pelbagai kaum.
Dalam gagasan Madani, Anwar menekankan bahawa pembangunan insan perlu bergerak seiring dengan jiwa budaya dan warisan pelbagai suku kaum yang bukan sekadar diraikan, malah dimuliakan sebagai sumber kekuatan bersama.
“Dalam gagasan MADANI, pembangunan insan harus seiring dengan jiwa budaya.
“Warisan pelbagai suku kaum tidak hanya diraikan tetapi juga dimuliakan sebagai sumber ilham dan kekuatan bersama,” katanya lagi.
Beliau turut menyentuh keharmonian budaya yang terbina daripada pelbagai latar etnik, menjadikan seni dan budaya Malaysia sebagai jaminan kelangsungan negara.
“Seni dan budaya kita menjadi lebih bermakna apabila teras Melayu berkembang harmoni bersama warisan Cina, India, Iban, Kadazan, Bajau dan lain-lain, menjadikan kerencaman ini jaminan keharmonian dan kelangsungan negara.
“Saya benar-benar terpukau menyaksikan persembahan tarian dan nyanyian yang menjulang kerencaman budaya kita, yang bukan sahaja mempesona rakyat, malah mengundang kekaguman sahabat dunia,” ujarnya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan festival tersebut, sambil berharap ia terus menjadi pemangkin kepada semangat kebersamaan dan kemakmuran negara.
“Penghargaan tertinggi buat semua pihak yang menjayakan festival ini.
“Semoga ia terus menyemarakkan kebersamaan, memperkukuh persahabatan dan menampilkan Malaysia sebagai tanah air yang makmur, aman serta kaya budaya,” katanya.








