Fitnah politik atau kebenaran di era AI sukar dibezakan – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Fenomena the liar’s dividend atau “dividen penipu” sangat bahaya terutamanya dalam landskap politik pascarealiti yang semakin dipengaruhi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim mengingatkan tentang konsep yang diperkenalkan oleh sarjana undang-undang Amerika Syarikat, Robert Chesney dan Danielle Citron tentang kewujudan teknologi deepfake boleh dimanipulasi bukan sahaja untuk memfitnah, malah untuk menafikan kebenaran.

“Dalam era sekarang, video dan audio palsu boleh dihasilkan dengan begitu meyakinkan sehingga sukar dibezakan dengan rakaman tulen. Apabila bahan seumpama ini tersebar, mangsa biasanya akan menafikan dan menyifatkannya sebagai AI.

“Namun masalahnya, apabila video tulen berkaitan sesuatu skandal didedahkan, individu terlibat juga boleh menggunakan alasan sama mendakwa ia palsu atau dijana AI walaupun bukti itu sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Yusri berkata, situasi inilah yang dinamakan sebagai the liar’s dividend, iaitu keadaan apabila individu yang benar-benar bersalah ‘menumpang’ keraguan awam terhadap teknologi deepfake untuk melepaskan diri daripada pertanggungjawaban.

Beliau mengulas perkara itu susulan penularan gambar seorang pemimpin politik yang dilihat tersenyum dan melambai kepada penyokong selepas hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan keluarga.

“Saya tidak mengetahui butiran kes dan tidak mahu mengganggu proses keadilan. Biarlah mahkamah menjalankan tugasnya.

“Namun yang membimbangkan adalah reaksi segelintir penyokong yang pantas mendakwa pertuduhan itu sebagai rekayasa politik tanpa meneliti fakta atau menunggu keputusan perbicaraan,” katanya.

Dr Yusri menjelaskan bahawa dalam kes tertentu, dakwaan pendakwaan terpilih mungkin mempunyai asas dan wajar dipersoalkan. Namun, beliau mengingatkan bahawa pendekatan mempertahankan secara membuta tuli boleh membawa implikasi lebih besar kepada integriti sistem keadilan.

“Bagaimana jika tuduhan itu benar? Jika benar berlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa, tetapi ia terus dinafikan atas naratif ‘fitnah politik’, masyarakat akan semakin sukar membezakan antara kebenaran dan propaganda,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa isu tersebut dibincangkan dalam buku terbaharunya mengenai komunikasi politik dan seni memenangi perang persepsi, yang kini dalam proses prapenerbitan.

Menurutnya, dalam era pascarealiti, cabaran terbesar bukan lagi sekadar menghasilkan maklumat palsu, tetapi bagaimana keraguan terhadap kepalsuan itu sendiri boleh dijadikan senjata untuk melindungi kesalahan sebenar.

“Apabila semua perkara boleh dinafikan sebagai palsu, kebenaran juga menjadi mangsa,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat