PKR Terengganu Gesa Exco Digantung Tugas Selepas Ditahan SPRM

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menggesa agar seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini digantung tugas atau dicutikan sementara siasatan dijalankan.

Ketua Penerangan PKR Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, langkah itu penting bagi memastikan proses siasatan berjalan secara bebas tanpa sebarang pengaruh.

“Isu ini bukan sekadar melibatkan individu tetapi menyentuh budaya tadbir urus dan tahap akauntabiliti pentadbiran.

“PKR Terengganu menegaskan bahawa exco berkenaan wajar digantung tugas atau dicutikan sementara siasatan dijalankan bagi memastikan proses berjalan secara bebas dan tanpa pengaruh,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Aiman turut menyeru Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, agar tampil dengan pendirian rasmi serta memperincikan langkah yang bakal diambil bagi memelihara integriti pentadbiran negeri.

“Kepimpinan tidak boleh berdiam diri dalam keadaan yang menjejaskan keyakinan rakyat.

“Kerjasama penuh kepada SPRM mesti disertai komitmen terhadap ketelusan dan semakan menyeluruh terhadap projek serta keputusan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Terengganu berhak mendapat pentadbiran yang bersih dan berintegriti kerana jawatan awam adalah amanah rakyat, bukannya keistimewaan peribadi.

PKR Terengganu juga menegaskan akan terus memantau perkembangan kes itu dan memastikan proses undang-undang berjalan secara bebas, adil serta tanpa campur tangan politik.

Terdahulu, media melaporkan seorang Exco Kerajaan Negeri ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi Ahad ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.

Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2018 hingga 2020.

Anda Mungkin Berminat