KUALA LUMPUR: Malaysia kini memasuki fasa baharu yang menuntut kesiapsiagaan, kejelasan dasar serta keberanian membuat keputusan sukar dalam menghadapi cabaran global khususnya krisis tenaga dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI pada Selasa, beliau menekankan bahawa wadah tersebut menjadi ruang penting untuk menghimpunkan pandangan kerajaan, akademia dan sektor profesional dalam membahaskan isu-isu mendesak negara secara terbuka dan berfakta.
“Malaysia berdepan cabaran ini dengan asas yang kukuh didukung kestabilan politik serta kekuatan institusi yang telah membolehkan kita mengekalkan daya tahan ekonomi dan keyakinan pelabur,” katanya.
Namun, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa realiti semasa menuntut seluruh negara bersiap siaga dengan Kerajaan memberi keutamaan melindungi rakyat sambil melaksanakan langkah berhemat bagi menjamin kestabilan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
Beliau berkata, pendekatan Malaysia mesti berlandaskan fakta, disiplin dan rasa tanggungjawab bersama agar setiap keputusan bukan sahaja tepat tetapi juga adil dan berteraskan ihsan kepada rakyat.








