Kerajaan hadkan lawatan luar negara, tiada rumah terbuka Aidilfitri agensi kerajaan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa menteri serta semua anggota pentadbiran kerajaan dan jabatan akan dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara buat sementara waktu.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan berjaga-jaga serta usaha penjimatan susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat yang mula memberi kesan kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan lawatan yang sudah dijadualkan dan wajib dihadiri masih dibenarkan.

“Melainkan yang memang dalam jadual dan wajib dihadiri,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan sebarang majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau, keputusan itu bertujuan menghantar mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan secara lebih berhemah dan sederhana ketika ketegangan di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda-tanda reda.

“Ada yang bertanya, jika keadaan masih terkawal dan bekalan barangan seperti minyak dan gas mencukupi, mengapa perlu langkah ini. Kita memilih untuk bersikap waspada dan berjimat.

“Ini langkah yang waras supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang mungkin menjadi lebih parah. Jadi sebaiknya kita mengambil sikap lebih sederhana dan bertanggungjawab,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat