SEPANG: Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi, secara rasmi dihantar pulang ke China hari ini selepas menghabiskan hampir 11 tahun di Malaysia di bawah Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kepulangan pasangan haiwan itu sejajar dengan terma perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan China pada 2012.
“Kerjasama ini bukan sahaja simbol persahabatan erat antara dua negara tetapi juga menyokong kelestarian di bawah tonggak Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasangan panda itu tiba di Malaysia pada Mei 2014 dan sepanjang tempoh di sini, mereka berjaya melahirkan tiga anak iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi yang telah dihantar pulang lebih awal.
Nik Nazmi berkata, Malaysia dijangka menerima pasangan panda baharu tahun ini susulan perjanjian baharu yang dimeterai pada April lalu.
“Kita bangga dengan pencapaian dalam konservasi panda termasuk kelahiran tiga anak panda, hasil usaha bersama semua pihak,” tambahnya.